PENINGKATAN 131 kes positif Covid-19 baharu hari ini antara lain mempunyai kaitan dengan aktiviti pengesanan aktif di tiga kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 58 kes positif dikesan dari tiga kawasan berkenaan iaitu di Kluang, Johor; Hulu Langat, Selangor dan Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

“Di Kluang terdapat seramai 3,755 penduduk. Daripada jumlah itu, setakat ini terdapat 170 kes positif iaitu pertambahan 23 kes baharu berbanding 147 kes yang dilaporkan semalam.

“Kawasan PKPD Hulu Langat pula mempunyai 1,797 penduduk dan setakat ini, terdapat 339 kes positif termasuk pertambahan 11 kes hari ini.

“Menara Plaza City One kita sudah melakukan ujian saringan sebanyak 1,893 dan jumlah kes positif adalah 24 kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan polis untuk melakukan pengesanan kes aktif di tiga kawasan berkenaan.

Menurutnya, mereka akan memastikan kumpulan berisiko tinggi dan juga orang yang disyaki dalam komuniti menjalani ujian saringan.

“Apabila kita melakukan pengesanan kes aktif, kita akan dapat mengesan kes baru seterusnya melakukan saringan, mengasingkan mereka daripada masyarakat dan memberi rawatan,” katanya.

Katanya, ia penting bagi mengekang penularan jangkitan di kawasan terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19