SIASATAN awal Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati terdapat empat kluster penularan koronavirus baharu (Covid-19) di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid, di Simpang Renggam, Kluang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan empat individu yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Seri Petaling, Kuala Lumpur dan menghadiri kenduri di dua kawasan perkampungan itu.

Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 88 kes positif Covid-19 dilaporkan daerah Kluang, Johor, dengan 74 daripadanya dari dua kampung itu.

“KKM menyasarkan 300 sampel ujian Covid-19 diambil setiap hari bermula hari ini di dua kawasan berkenaan.

“Persampelan diutamakan kepada kontak rapat, individu bergejala dan golongan berisiko,” katanya dalam sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di dua kawasan itu bertujuan membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan berkenaan dan bagi memutuskan rangkaian jaringan penulasan Covid-19.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyahkuman dijalankan di kawasan berkaitan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to covid19