Kira-kira 35 hektar daripada kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Banting dilaporkan terbakar sejak beberapa hari lepas, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor.

Bagaimanapun kata Hafisham, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pagi semalam oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) yang menerima laporan kebakaran itu daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Katanya, sebanyak 68 anggota serta pegawai daripada beberapa balai bomba sekitar Lembah Klang ditugaskan dalam operasi pemadaman kebakaran hutan gambut itu yang masih giat dijalankan.

“Disebabkan kebakaran berlaku jauh dari jalan masuk, pihak bomba terpaksa membuat laluan di dalam hutan itu untuk sampai ke kawasan terjejas.

“Kebakaran hutan gambut memerlukan masa untuk dipadamkan kerana ia melibatkan kebakaran bawah tanah. Hanya asap yang banyak kelihatan ekoran kebakaran itu dan kami menggunakan sumber air daripada parit yang digali,” katanya ketika dihubungi Bernama, di Shah Alam hari ini.

Hafisham berkata operasi pemadaman itu turut dibantu pelbagai agensi lain antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Angkatan Pertahanan Awam (APM), UPBNS, JPNS dan Majlis Daerah Kuala Langat.

Katanya, bagi mempercepatkan pemadaman kebakaran, sebanyak 13 pengeboman air telah dilaksanakan hari ini dan akan dilakukan semula esok dengan bantuan aset APMM.

Beliau berkata setakat operasi yang berakhir pukul 7 malam tadi, sebanyak dua hektar kawasan hutan terbakar itu berjaya dipadamkan dan kebakaran itu masih terkawal daripada terus merebak ke lokasi baru .

“Kerja-kerja pemadaman akan diteruskan semula esok,” katanya.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran disyaki berpunca daripada pihak tidak bertanggungjawab yang memulakan kebakaran untuk tujuan pertanian.

Bernama

All copyrights for this article are reserved to MalaysiaKini