ARAHAN ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Menara City One di Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 13 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan berkenaan membabitkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium serta premis perniagaan di menara itu.

Katanya, PKPD berkenaan bertujuan membendung penularan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) ke kawasan lain selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan 17 kes positif Covid-19 di menara terbabit.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari PKPD dilaksanakan.

“Justeru, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh itu perintah itu dikuatkuasakan.

“Selain itu, semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan di menara itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, penghuni dibenarkan membuat pesanan makanan yang boleh dihantar ke lobi keselamatan pintu utama menara saja.

“Susulan itu, Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD berkenaan dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia akan mengawal seluruh kawasan.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Mana-mana penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas di 03-26943243, 03-40267222 atau 013-3295141.

ANGOTA Polis memeriksa dokumen penghuni yang ingin memasuki Menara City One, Jalan Munshi Abdullah. FOTO NSTPANGOTA Polis memeriksa dokumen penghuni yang ingin memasuki Menara City One, Jalan Munshi Abdullah. FOTO NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • All copyrights for this article are reserved to covid19