Malaysia mempunyai banyak taman negara dan lebih 30 taman negara kesemuanya samaada di darat mahupun di laut ataupun marin.

Kebanyakan taman negara di Malaysia turut mempunyai kemudahan penginapan serta pakej menarik untuk pengunjung melakukan aktiviti eko-pelancongan.

Taman Negara Johor Yang Wajib Anda Lawati

Untuk makluman, kesemua taman negara yang terdapat di Semenanjung Malaysia adalah di bawah penjagaan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Jika di Sabah, di bawah Jabatan Hidupan Liar Sabah manakala di Sarawak pula di bawah Jabatan Perhutanan Sarawak.

Untuk perkongsian hari ini, mari kita lihat beberapa Taman Negara di Johor yang wajib anda semua lawati.

Taman Negara Johor Endau Rompin (Bekok)

Taman Negara ini ditubuhkan pada tahun 1993 dan Taman Negara ini juga adalah kawasan perlindungan terbesar di separuh selatan semenanjung Malaysia.

Terdapat 2 pintu masuk rasmi untuk ke sini. Pertamanya adalah melalui Peta yang terletak di sepanjang sempadan timur di daerah Mersing. Manakala pintu masuk yang kedua pula melalui Selai di sempadan barat daya di daerah Segamat.

Jika anda berkunjung ke sini, anda tidak perlu risau tentang kemudahan seperti surau dan tandas. Pihak pengurusan di sini telah menyediakan kemudahan untuk para pengunjung seperti pejabat taman, dewan, kafeteria, chalet standard, chalet VIP, asrama (lelaki dan perempuan) dan surau.

Terdapat beberapa aktiviti yang anda boleh lakukan sekiranya anda melalui pintu masuk Selai seperti:

  • Hiking.
  • Berkhemah di Lubuk Merekek.
  • Melihat burung.
  • Berjalan malam.

Jika anda bercadang ingin ke sini, hubungi Pejabat Taman Negara Endau Rompin (Selai) untuk maklumat lanjut. Pesan lebih awal terutamanya jika anda bercadang untuk pergi pada hujung minggu ataupun pada cuti sekolah. Tidak lupa juga, pastikan anda mendapat izin masuk semasa anda tiba.

Taman Negara Gunung Ledang (Tangkak)

Taman Negara Gunung Ledang Johor ditubuhkan pada 2005 untuk melindungi gunung istimewa ini bersama dengan tumbuhan dan haiwan unik yang hidup di sini.

Kawasan ini seluas 8,611.9 hektar yang meliputi seluruh Ledang yang memiliki hamparan hutan hujan tropika yang masih asli dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi Johor dan Melaka.

Terdapat beberapa tempat menarik yang anda boleh kunjungi seperti Anjung Mahligai, Denai Pokok Ara, Menara Pandang Puteri, Kolam Puteri dan kawasan pemuliharaan.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di sini seperti:

  • Kompleks pelawat.
  • Pejabat taman.
  • Galeri.
  • Bilik audio-visual
  • Dewan
  • Kafeteria
  • Surau
  • Kawasan memasak
  • Tandas

Di sini, anda juga boleh melakukan beberapa aktiviti bersama rakan-rakan mahupun keluarga. Antara aktiviti yang terdapat di sini ialah:

  • Mendaki gunung
  • Laluan Lagenda, yang terbentang dari pintu masuk taman (Taman Hutan Lagenda) hingga ke puncak Gunung Ledang adalah laluan mendaki gunung yang paling popular di negara ini.
  • Berjalan sambi belajar mengenai alam sekitar
  • Renjer taman akan membawa anda dalam lawatan berpandu selama 3-4 jam di denai Pokok Ara. Sepanjang perjalanan, anda akan menemui beberapa flora dan fauna yang lebih menarik dari ketinggian taman yang lebih rendah.
  • Berkhemah
  • Terdapat tiga tempat perkhemahan yang luas di sekitar pintu masuk taman (Taman Hutan Lagenda) yang dilengkapi dengan tandas, bilik mandi, surau serta kawasan memasak dan makan.

Taman Negara Tanjung Piai (Pontian)

Taman Negara Johor Tanjung Piai yang terletak berhampiran Tanjung Piai di mukim Serkat daerah Pontian, Johor merupakan tanah paling selatan di benua Asia.

Ia menyimpan pelbagai khazanah berharga alam semulajadi yang kaya dengan hutan, hidupan paya bakau serta flora dan fauna.

Dengan keluasan 926 hektar, Taman Negara Tanjung Piai menempatkan mercu tanda daratan penghujung di benua Asia iaitu peta dunia yang dibina atas sebuah pelantar menghadap Selat Melaka.

Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997.

Antara aktiviti yang ada boleh lakukan di sini ialah berkhemah, memancing, melihat kunang-kunang dan melihat pemandangan serta keindahan Selat Tebrau.

Pelawat boleh mendapatkan maklumat tentang hutan paya bakau dan maklumat lain di sepanjang denai yang dipamerkan dalam kawasan taman. Setiap maklumat disertakan dengan gambar supaya senang difahami.

Setelah masuk ke taman, terdapat satu laluan khas berupa jambatan kayu yang dibina merentasi paya bakau.

Terdapat juga laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing dan pelantar ini juga menjadi tumpuan untuk pelawat menikmati keindahan Selat Melaka.

Di pelantar ini, dibina mercu tanda berbentuk bumi bagi menggambarkan bahawa di sinilah titik paling hujung bagi benua Asia.

The post 3 Taman Negara Johor Yang Wajib Anda Lawati appeared first on TripJalan.

All copyrights for this article are reserved to TripJalan