TIGA kes kematian berkaitan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 5 petang, hari ini.

Pertambahan tiga kes kematian itu termasuk satu kes dilaporkan pagi tadi membabitkan rakyat tempatan berusia 35 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada awal Mac, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan itu di Malaysia adalah sebanyak 26 kes.

Beliau berkata, kes kematian ke-25 membabitkan lelaki berusia 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Katanya, lelaki itu dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada 25 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 6.55 petang semalam.

“Kes kematian ke-26 adalah seorang lelaki berusia 53 tahun yang juga kontak rapat kepada kes ke-1309.

“Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac dan meninggal dunia pada 10.30 pagi tadi,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, hingga 12 tengah hari tadi terdapat 130 kes baharu dilaporkan.

“Melalui pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 2,161 kes,” katanya.

Beliau berkata, seramai 54 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • All copyrights for this article are reserved to covid19